Memberi maaf kekadang lebih sukar daripada meminta maaf. Ah, kenapa diri ini? Apa yang pernah dibaca dalam al-Qur'an, hadis dan buku-buku sukar benar dipraktikkan. Bila cuba dipraktikkan, barulah terasa pedihnya. Egonya terhenyak, rasa marah tertekan. Mampukah diri ini memaafkan ketika berkuasa 'membalas'? Forgive and forget? Wah jauh sekali. Nak lupakan? Nak memaafkan pun sukar!
Aku bertemunya sekali lagi setelah sekian lama terpisah. Perpisahan yang disebabkan perselisihan, di samping dia sendiri membina kerjaya di tempat lain. Secara 'basa-basi' memang kami telah saling bermaafan. Tetapi dia dan aku tahu, 'mendung' antara hati kami masih belum berarak pergi. Kini, setelah hampir 5 tahun, suasana sudah berubah. Yang di bawah ke atas, yang di atas meluncur ke bawah.
"Maaf, bang..."
Aku tergamam. Aku renung matanya.Agak layu dan keletihan.
"Oh, tak apa-apa. Kita jumpa lagi nanti," kataku sambil memberikan kad nama. Dia juga memberikan kadnya. Dan kami terus berpisah. Sepanjang perjalanan pulang, hatiku resah..Jelas aku masih sukar melupakan. Atau aku masih belum memaafkan?
Dibelenggu Rasa Sakit
Perlahan aku mainkan semula sebuah kaset dari siri kaset-kaset pengubat jiwa koleksi peribadi yang ada di dalam kereta.
Orang yang tidak memaafkan sentiasa 'diikat' oleh orang yang tidak dimaafkannya. Maafkan, nescaya kau akan terlepas. Kau akan bebas daripada terus mengingatkan kesedihan, kekecewaan dan kemarahan yang dikenakannya ke atasmu. Itu sakit. Maafkan, engkau akan sihat, engkau akan bebas!"
Aku diam. Akur. Rupanya aku masih dibelenggu oleh rasa sakit itu.
"Mengapa terlalu sukar memaafkan?Orang yang merasakan kebesaran Allah,akan berasa kekerdilan dirinya."
Sekali lagi suara dalam kaset itu menusuk hatiku. Aku ego? Ya, jawab suara hati.
"Allah lagilah Pengampun. Dosa demi dosa dari hambaNya, diampun segalanya. Bukan sekadar mengampunkan, malah Allah menyayangi pendosa yang bertaubat dari dosanya." Masya Allah!
Egonya Aku
Kenapa aku rasa 'besar'? Akukah yang memberikan dia rezeki? Akukah yang berikan dia hidayah? Akukah yang sembuhkan dia dari sakit demamnya? Insaflah, Allah yang memberikan dia semuanya. Jika Allah yang begitu besar jasa kepadanya pun memaafkan. Apakah layak untuk kita tidak memaafkan? Sekali lagi saya terhenyak. Oh,egonya aku.
Saya belokkan kereta ke arah lain. Tidak jadi pulang ke rumah. Sengaja memanjangkan masa untuk lebih mendengar suara kaset dan suara hati sendiri.
"Kau tau tak, aku tak suka orang yang mungkir janji. Kau selalu mungkir janji. Aku tunggu,kau lewat. Kau janji nak bayar, kau culas. Kau kata nak buat, kau tangguh. Kau janji macam-macam, tapi apa pun tak ada. Kau buat berulang-ulang kali. Kali ini aku terlalu susah, kau buatkan aku begini. Sampai hati kau."
"Eh, siapa suruh kau percaya. Siapa suruh kau tunggu.. Biasalah,kau takkan tak tahu perangai aku."
"Kalau macam ni susahlah aku."
"Dah tahu susah, jangan kawan dengan aku!"
Masih terngiang-ngiang dialog antara kami ketika dia menelefonku meminta maaf,dan aku memaafkannya..tetapi sejak itu kami 'putus'.
"Cuba bayangkan kasih sayang Allah. Kalau seorang itu berdosa, kemudian bertaubat, kemudian berdosa lagi, bertaubat lagi..namun Allah masih dan terus sudi mengampunkannya setiap kali dia bertaubat. Sebab itu kata Imam Al-Ghazali, seorang hamba yang bertaubat tetapi kembali berdosa, jangan sekali-kali putus asa untuk terus bertaubat lagi. Mana tahu Izrail mencabut nyawanya ketika dia sedang bertaubat atau sedang dalam perjalanan menuju satu taubat!"
Aku terdiam. Alasanku tidak memaafkannya ialah dia buat begini berulang-ulang kali. Ya, sukarnya memaafkan, tapi Allah? Sekali lagi, suara hati menusuk jiwa - siapa besar?
Dosanya Terlalu Besar?
Reputasiku hampir pupus dibuatnya. Malah, aku hampir hilang pekerjaan. Terlalu besarkah dosanya kepadaku?
"Sekalipun si hamba datang dengan dosa sepenuh langit dan bumi, sebanyak pepasir di pantai, seluas air di lautan, Allah akan mengampunkannya. Sebesar-besar dosa manusia, besar lagi pengampunan Allah. Malah, keampunanNya sentiasa mendahului kemurkaanNya."
Aduh, kecilnya kesalahan manusia sesama manusia, berbanding dosa manusia dengan Yang Esa. Apakah alasan kita untuk tidak memaafkan? Sedangkan Allah sudi memaafkan walau sebesar mana pun dosa kita, insan yang hina ini kepadaNya, Zat Yang Maha Mulia."
"Maafkan dosa sesama kita, agar mudah kira bicara kita di mahkamah keadilanNya nanti. Allah Penyayang, suka kepada orang yang penyayang. Allah Maha Pemaaf, dan suka kepada orang yang suka memaafkan. Maafkanlah agar dimaafkan."
Tanpa lengah aku mencapai telefon bimbit. Kad namanya kukeluarkan.
"Hello, assalamu'alaikum. Ya,ya,aku ni. Kita jumpa boleh? Tempat? Kau tentukan. Oklah, setengah jam lagi insya Allah aku sampai," kata saya. Tanpa sedari kaki saya menekan pedal minyak. Ingin segera kerana..ingin segera memaafkan. Agar segera diampunkan. Ya Allah..egonya aku selama ini. Menyimpan sifat 'ketuhanan' dalam diri yang begitu hina dan kekurangan.
Cerita di atas ini, tidak sesekali bersangkut paut dengan mana-mana individu. Sebagai muhasabah untuk diri penulis sendiri terutamanya. Moga Allah ampuni dosa-dosa kita semua. Ameen!
Wassalam..
Nukilan: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi







0 comments:
Post a Comment