Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan

Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.

Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.

Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.

Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?

Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya. Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.

Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri.

Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.

Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.

Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:
“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).

Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:
“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).

Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.
Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:
“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).

Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:
“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.
Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:
“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

Fikrah DR MAZA

DEVELOPMENT vs DEVIL-UP-MEN

Apa itu pembangunan dalam ertikata yang sebenar? Pembangunan bagaimanakah yang diiktiraf oleh piawaian syariat? Adakah pembangunan itu cukup sekadar terbinanya bangunan-bangunan yang gah indah, sehingga mencakar langit, disanjung manusia seantero dunia. Tetapi adakah semua ini punya nilai mulia di sisi Allah..? Benarkah pembangunan itu diukur pada kemewahan manusia yang memiliki kereta International Mercedes Benz, rumah megah bak istana di syurga, atau kehidupan mewah dikelilingi emas dan intan berlian yang melimpah-ruah..? Inikah yang dikatakan erti pembangunan sebenar? Analoginya, adakah pusat-pusat membeli dan membelah terkemuka di Malaysia seperti Sogo, The Mall, Mydin yang saban hari dipenuhi manusia, dikira sebahagian dari pembangunan bagi sesebuah negara kini? Sedihnya, ianya hanya memperuntukkan surau/tempat solat yang mampu memenuhi ruang lebih kurang 15 orang para jemaah sahaja. Sedangkan, ruang membeli belah berganda-ganda besarnya jika dibandingkan dengan tempat 'ibadah. Adakah ini semua dikira sebagai pembangunan sebagaimana yang dikehendaki Islam?

Daripada Umar bin al-Khattab r.a.
(dalam sebuah hadis yang panjang), …kemudian Jibrail bertanya kepada RasululIah saw., "Maka khabarkan kepadaku tentang hari qiamat?". Lalu Nabi saw. menjawab, "Orang yang ditanya tiada lebih mengetahui daripada orang yang bertanya". Maka Jibrail lalu berkata, "Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya" , maka Nabi saw. menjawab, "Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang tidak berpakaian walaupun seurat benang lagi miskin yang hanya mengembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan".(H.R. Muslim)

Pembangunan dari kaca mata Islam dan barat sudah tentu amat ketara perbezaannya.
Pembangunan pada perspektif Islam mengikut kata Dr Muhammad Mumtaz Ali di dalam kitabnya; Critical Thinking an Islamic Perspective, terdapat 3 aspek penting tentang pembangunan yang memenuhi kehendak dan acuan Islam:
1) Keimanan dan Kerohanian ( Faith & Spirituality)-menjadi perkara asas yang utama
2) Akhlak Mulia ( Ethical Ideals of Mankind)
3) Sistem SosiaPolitik Berteraskan Syariat Islam ( Sociopolitical Ideals of Mankind)
Oleh itu, Islam mengutamaan aspek keimanan, akhlaq dan sosiapolitik yang menjadi ukuran bagi erti pembangunan sebenar. Manakala, barat berpendapat sebaliknya.

"The western development models and programs of modernization have offered many material benefits, comforts and a high standard of life, but at the same time they have caused moral decay, spiritual bankruptcy and various other complex problems"

"West is facing the problem of moral decline, cultural suicide and political disunity."
- Huntington-

Hakikatnya, Islam sama sekali tidak melarang umatnya melaksanakan misi pembangunan bagi keselesaan sesebuah negara demi tujuan yang murni. Islam mengajar kita supaya aspek dalaman (spiritual) menjadi keutamaan dan perlu dibangunkan dalam diri setiap individu Muslim sebelum terbangunnya aspek-aspek luaran seperti material. Islam tidak menegah Muslim Mukmin memiliki kenderaan mewah, kediaman selesa lagi luas untuk kemudahan bersama, tetapi sejauh mana manusia mampu menjadikan kekayaan dan kemewahan yang dianugerahi sementara ini, sebagai gelaran di sisi Allah - 'pemilik kekayaan' yang merendah diri, ikhlas membantu, tawadu' dengan semua orang, lebih mendekat kecintaan padaNya.

Ibnu Khaldun dalam kitabnya Al-Muqaddimah ada menyatakan 'The Law of Development'- 'Law of Nature', sesebuah negara membangun yang mengutamakan kemajuan dan pembangunan meterial berbanding spiritual akan mengalami kemunduran, keruntuhan dan ketempangan akhlak rakyat bagi sebuah negara tersebut. Ini semua fitrah alam.

Pembangunan di Malaysia, bagaimana pula..? Adakah aspek spiritual atau meterial diutamakan? Sama-sama kita fikir,zikir dan ikhtiar untuk kemaslahah ummah. Wallahu Ta'ala A'lam.

Rujukan:
1) Dr Muhammad Mumtaz Ali (Pensyarah UIAM), Critical Thinking an Islamic Perspective.
2) Ibnu Khaldun, Al-Muqaddimah.

MEE JAWA TARBAWI

Bahan-Bahan:
1 kg mee kuning ada cop halal yang diiktiraf JAKIM (dicelur)

1/2 kg. daging [rebus lembut dan hiris nipis]
300 gm tauge (buangkan kakinya)
2 tangkai daun bawang (dihiris)
5 biji cili merah (dihiris)
3 keping tauhu goreng (dihiris nipis)
3 biji telur rebus (dibelah)
3 biji limau nipis (dibelah)
Sedikit bawang goreng
Bahan Kuah:
1/2 kg keledek (direbus & dikisar)
3 ulas bawang putih ]
5 ulas bawang merah ]
3 batang serai ] mesin halus
Sedikit halia ]
Sedikit lengkuas ]
100 gm udang kering ]
2 s/b cili kisar
3 s/b serbuk kari daging
Air rebusan daging
Sedikit garam Halagel
Sedikit minyak masak
Sedikit gula

Caranya:
1. Baca بسم الله الرحمن الرحيم (perencah bismillah)
2. Bersihkan niat ikhlas kerana Allah agar dikira 'ibadah
3. Panaskan minyak masak dalam periuk.
Tumiskan bahan yang dimesin, rempah & cili kisar hingga garing.
4. Masukkan keledek. Tambahkan air rebusan daging mengikut kepekatan yang diinginkan.
5. Akhir sekali, masukkan garam & gula. Biarkan hingga kuah mendidih.
6. Bertawakkal kepada Allah.
6. Angkat dan hidangkan dgn bahan yg dihiris.
Tips:
1. Sedikit minyak diperlukan supaya bahan yang dimesin tadi tidak melekat pada periuk dan tidak cepat hangit. Jangan biarkannya lama di dalam periuk tanpa dikacau kerana ia akan kembali melekat. Begitu juga orang yang lama tidak ikut program tarbiyyah, hatinya akan jadi liat dan melekat apabila diajak . Jangan tinggalkannya, proseslah balik.
2.Sebelum masukkan keledek, pastikan bahan-bahan yang ditumis betul-betul garing terlebih dahulu.Begitu juga dalam tarbiyyah, ada marhalahnya, tidak boleh tergesa-gesa dan nak cepat.Tiada jalan singkat dalam tarbiyyah.
3.Boleh juga ditambahkan fish cake sebagai penyedap rasa, fish cake yang segar lebih sedap dan enak. Ianya juga mungkin sedikit lebih mahal berbanding yang biasa. Wallahu'alam. Begitu juga dalam membina Istana Islam, asas batu-bata yang lebih berkualiti akan membangunkan binaan yang lebih gah.
2.Susunlah hiasan dengan cantik dan teratur.Begitu juga dalam tarbiyyah, perlu tersusun (munazzamah) dan berstrategi.
"...dan makan serta minumlah kamu, serta janganlah berlebih-lebihan, kerana Dia (Allah) tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan." (al-A'raff: 31)
Betapa banyak Allah Swt. telah memberikan nikmat dan karuniaanNya kepada kita semua, baik dalam bentuk kesihatan, kesempatan, kesedaran, kemahuan, harta, makanan, kefahaman, ilmu, bahkan nikmat Iman dan Islam yang paling besar. Moga-moga dengan ni'mat-ni'mat ini akan bertambahlah keinsafan, kesyukuran dan ubudiyyah kita padaNya semata. Ameen.