Setiap Yang Bernyawa Pasti Merasai Mati..

Doa yang dilafazkan oleh RASULULLAH SAW ketika mnesolatkan jenazah..

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ
Ya Allah, ampunilah dosanya; curahkanlah rahmat kepadanya; sentosakanlah dia; maafkanlah dia; muliakanlah kedudukannya; luaskanlah tempat masuknya; bersihkanlah dia dengan air, salji, dan embun; bersihkanlah dia daripada dosa-dosa sebagaimana bersihnya kain yang putih daripada kotoran; gantilah rumahnya dengan rumah yang lebih baik daripada rumahnya di dunia; gantilah keluarganya dengan keluarga yang lebih baik daripada keluarganya di dunia; gantilah pasangannya dengan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya di dunia; masukkanlah dia ke dalam syurga; dan peliharalah dia daripada seksa kubur dan seksa api neraka) hingga terlintas dalam hatiku alangkah indahnya jika akulah yang menjadi mayat tersebut.” (Riwayat Muslim)

Doa Cinta Pengantin


Ya Allah,
Andai Kau berkenan, limpahkanlah rasa cinta kepada kami,
Yang Kau jadikan pengikat rindu Rasulullah dan Khadijah Al Qubro
Yang Kau jadikan mata air kasih sayang
Ali bin Abi Thalib dan Fatimah Az Zahra
Yang Kau jadikan penghias keluarga Nabi-Mu yang suci.

Ya Allah,
Andai semua itu tak layak bagi kami,
Maka cukupkanlah permohonan kami dengan ridho-Mu
Jadikanlah kami Suami & Isteri yang saling mencintai di kala dekat,
Saling menjaga kehormatan dikala jauh,
Saling menghibur dikala duka,
Saling mengingatkan dikala bahagia,
Saling mendoakan dalam kebaikan dan ketaqwaan,
Serta saling menyempurnakan dalam peribadatan.

Ya Allah,
Sempurnakanlah kebahagiaan kami
Dengan menjadikan perkawinan kami ini sebagai ibadah kepada-Mu
Dan bukti ketaatan kami kepada sunnah Rasul-Mu.

Amin Allahumma Amiin……

Ya Allah…
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul untuk mencurahkan cinta hanya kepada-Mu, bertemu untuk taat kepada-Mu, bersatu dalam rangka menyeru [di jalan]-Mu, dan berjanji setia untuk membela syariat-Mu maka kuatkanlah ikatan pertaliannya.

Ya Allah…
Abadikan kasih sayangnya, tunjukkanlah jalannya dan penuhilah dengan cahaya-Mu yang tidak pernah redup, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan keindahan tawakal kepada-Mu, hidupkanlah dengan ma’rifat-Mu, dan matikanlah dalam keadaan syahid di jalan-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Dan semoga shalawat serta salam selalu tercurah kepada Mudammad SAW, kepada keluarganya dan kepada semua sahabatnya.

Ya Allah…
Hari ini ( tanggal 5 Jun 2009 ) dua hamba-Mu yang dhaif mematri janji dalam Mitsaqan Ghaliza di hadapan kebesaran-Mu. Kami tahu tidak mudah untuk memelihara ikatan suci ini dalam naungan ridho dan maghfirah-Mu. Kami tahu, amat berat bagi kami untuk mengayuh perahu rumah tangga kami menghadapi taufan godaan di hadapan kami. Kerana itulah, kami datang memohon Rahman dan Rahim-Mu.

Tunjukilah kami jalan yang lurus, jalan orang-orang yang lebih Engkau anugerahi kenikmatan, bukan-nya jalan orang-orang yang Engkau timpai kemurkaan, bukan pula jalan orang-orang yang Engkau tenggelam dalam kesesatan. Sinarilah hati kami dengan cahaya petunjuk-Mu.

Terangilah jalan kami dengan sinar taufik-Mu. Kalau Engkau berkenan menganugerahkan nikmat-Mu atas kami, bantulah kami untuk banyak berdzikir dan bersyukur atas nikmat-Mu itu. Hindari kami dari orang-orang yang terlena dalam kemewahan dunia. Lembutkan hati kami untuk merasakan curahan rahmat-Mu.

Ya Allah…
Indahkanlah rumah kami dengan kalimat-kalimat-Mu yang suci. Suburkanlah kami dengan keturunan yang membesarkan asma-Mu. Penuhi kami dengan amal sOleh yang Engkau redhoi. Jadikan mereka Yaa…Allah teladan yang baik bagi manusia.

Ya Allah…
Damaikanlah pertengkaran di antara kami, pertautkan hati kami, dan tunjukkan kepada kami jalan-jalan keselamatan. Selamatkan kami dari kegelapan kepada cahaya. Jauhkan kami dari kejelekan yang tampak dan tersembunyi.

Ya Allah…
Berkatilah pendengaran kami, penglihatan kami, hati kami, suami/isteri kami, keturunan kami dan ampunilah kami.

Ya Allah..
Berkatilah Ahmad Khairi dan Kamariah,
Pasangan suami isteri yang bersatu ikatan kasih keranaMu..
Dua hambaMu yang dhoif iman ini...

Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Amin Allahumma Amiin……

Jalan Menuju Qana'ah

1. Menjadikan Akhirat sebagai matlamat utama.

Mereka yang sibuk dengan akhirat, tidak akan menghiraukan dunia. Hati mereka sudah tertaut dengan syurga dan kenikmatan-kenikmatannya, maka tiadalah nilai nikmat-nikmat dunia disisi mereka dan mereka hanya mengambil sekadar yang perlu sahaja.

Hadis Rasulallah s.a.w yang bermaksud:
“Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah kamu adalah orang asing atau sebagai orang yang melalui jalan.” HR Bukhari.

2. Mengetahui hakikat dunia.

"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan Sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri Yang kekal.

Rasulallah s.a.w pernah bersabda yang membawa maksud : sekiranya dunia ini ada nilai disisi Allah walaupun sebesar sebelah sayap nyamuk, nescaya orang kafir tidak akan diberi minum.

“Apalah aku ini dengan dunia! sesungguhnya perumpamaan diriku dan dunia adalah seperti seorang musafir, tidur sejenak di siang hari di bawah pokok untuk berehat demudian meneruskan perjalanan dan meninggalkannya.” HR Tarmidzi

Inilah dunia. Hanya sebuah persinggahan yang bersifat sementara.

3. Zuhud di dunia.

Satu hari seorang lelaki telah mendatangi Rasulallah s.a.w, dan berkata: “wahai Rasulallah, tunjukkanlah aku amalan yang apabila aku mengamalkannya, Allah akan mencintaiku, dan manusia juga akan mencintaiku”, maka berkata Rasulallah s.a.w: “zuhudlah di dunia, nescaya Allah akan mencintaimu, dan zuhudlah dengan apa yang ada disisi manusia, nescaya manusia akan mencintaimu”. HR Ibnu Majah

Zuhud yang sebenar adalah sesiapa yang didatangi dunia tetapi ia sedikit pun tidak melalaikan dia daripada tuhannya bahkan pada pandangannya ia (dunia dan kenikmatannya) hanyalah perkara kecil. Lihatlah sahabat-sahabat agung seperti Abu Bakar, Uthman, dan Abdur Rahman Auf. Mereka telah didatangai dunia, tetapi hubungan mereka dengan Allah tidak terjejas, bahkan sentiasa bertambah. Merekalah contoh zuhud yang sebenar. Maka janganlah memandang zuhud itu pada orang miskin yang papa.

4. Melihat kepada orang yang lebih rendah dari kamu.

Daipada Abu Hurairah r.a: Rasulallah s.a.w telah bersabda: “lihatlah kepada mereka yang lebih rendah daripada kamu, dan janganlah melihat kepada mereka yang lebih tinggi daripada kamu kerana ia lebih patut supaya kamu tidak sombong dengan nikmat Allah terhadap kamu.” Muttafak Alaih

Melihat kepada orang yang lebih kaya akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan keinginan untuk menjadi kaya seperti mereka. Akhirnya manusia akan terjerat dalam permainan dunia yang bertuhankan harta. Hidup semata-mata untuk mencari dunia dan memuaskan nafsu. Sedangkan nafsu itu tidak akan puas. Habis dikejar segunung emas, segunung lagi akan dicari. Dan inilah apa yang berlaku pada kebanyakan manusia sekarang, termasuk orang islam sendiri.

Lihatlah kepada golongan yang lebih miskin. Sedarlah betapa beruntungnya kita, dan belajarlah untuk bersederhana.

5. Banyakkan memberi.

Belajar untuk memisahkan diri dengan harta kerana apabila mati nanti kita akan tinggalkan harta itu untuk selamanya.
Pada sedekah itu juga ada penyucian harta dan membawa kepada keberkatan.
Rasulallah s.a.w juga pernah bersabda bahawa tangan yang diatas (memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (menerima).

6. Mengambil contoh dari mereka yang terdahulu.

Pernahkah kita tertanya, apakah yang ditinggalkan oleh Rasulallah s.a.w ketika beliau wafat?

Amru bin Harith r.a berkata, “ketika kewafatan Rasulallah s.a.w, beliau tidak meninggalkan dinar atau diraham, hamba lelaki mahupun hamba perempuan, atau sebarang benda lain, kecuali keldai putihnya yang menjadi tunggangan Baginda, pedang beliau, dan tanah yang disedekahkan untuk ibnu sabiil (mereka yang dalam perjalanan).”
HR Bukhari

Menggapai RedhaNya..

Ingatlah, Insan akan berjaya mencapai kemuliaan dan redhaNya bukan kerana memiliki keperkasaan dan kekayaan atau pangkat dan kedudukan tetapi memiliki hati yang lembut dan penuh keimanan. Asalkan hati kita sentiasa hidup dan penuh keimanan maka kita akan berjaya meraih redhaNya. Tentunya apa yang Allah timpakan kepada kita mengambil kira kemampuan kita cuma kita perlu berusaha untuk mencari penawarnya. Laluilah ia dengan bekalan ketaqwaan dan kesabaran..InsyaAllah.

*PERANG SIFFIN*

Termasuk sejarah versi Syi`ah adalah Perang Siffin merupakan pemberontakan yang diketuai oleh Muawiyah bin Abi Sufyan ke atas Ali bin Abi Thalib. Sekali lagi hal ini perlu diteliti semula, benarkah Muawiyah bin Abi Sufyan radhiallahu ‘anh memimpin kaum pemberontak ke atas Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh?


Sebelum menjawab persoalan ini, ingin saya jelaskan terlebih dahulu keutamaan Muawiyah. Ini kerana sejak dari bangku sekolah, kebanyakan di kalangan kita mengenali beliau sebagai seorang sahabat yang zalim, pendusta dan pelbagai lagi sifat yang negatif. Pengenalan bentuk negatif ini begitu meluas sehingga jarang-jarang kita menemui ibubapa yang menamakan anaknya “Muawiyah” berbanding dengan nama para sahabat yang lain.

Keutamaan Muawiyah bin Abi Sufyan

Muawiyah bin Abi Sufyan adalah salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia. Beliau dilahirkan 15 tahun sebelum peristiwa hijrah. Mengikut pendapat yang lebih tepat, beliau memeluk Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah, iaitu antara tahun 6 hingga 8 hijrah. [Maulana M. Asri Yusoff – Sayyidina Mu’awiyah: Khalifah Rashid Yang Teraniaya (Pustaka Bisyaarah, Kubang Kerian, 2004), ms. 9-10].

Dalam sebuah hadis yang dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani rahimahullah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mendoakan Muawiyah: “Ya Allah! Jadikanlah beliau orang yang memimpin kepada hidayah dan berikanlah kepada beliau hidayah.” [Silsilah al-Ahadits al-Shahihah (Maktabah al-Ma`arif, Riyadh, 1995), hadis no: 1969]

Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2924 bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pasukan pertama daripada kalangan umatku yang berperang di laut, telah dipastikan bagi mereka (tempat di syurga).” Fakta sejarah mencatitkan bahawa armada laut yang pertama bagi umat Islam dipimpin oleh Muawiyah pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu ‘anh.

Di dalam Shahih Muslim – hadis no: 2501, Abu Sufyan pernah meminta kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam agar Muawiyah menjadi jurutulis baginda. Rasulullah memperkenankan permintaan ini. Sejak itu Muawiyah menjadi jurutulis al-Qur’an dan surat-surat Rasulullah, sekali gus menjadi orang yang dipercayai di sisi baginda.

Muawiyah juga merupakan seorang sahabat yang dihormati oleh para sahabat yang lain. Beliau diangkat menjadi gabenor di Syam semasa zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar dan Usman. Pada zaman pemerintahan beliau sendiri, pernah seorang mengadu kepada Ibn Abbas radhiallahu ‘anh bahawa Muawiyah melaksanakan solat witir dengan hanya satu rakaat. Ibn Abbas menjawab: “(Biarkan), sesungguhnya dia seorang yang faqih (faham agama).” [Shahih al-Bukhari – hadis no: 3765]

Demikianlah beberapa keutamaan Muawiyah yang sempat dinyatakan dalam tulisan ini. Dapat dikenali bahawa beliau bukanlah sebarangan orang tetapi merupakan salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia.

Pendirian Muawiyah tentang kekhalifahan Ali

Apabila Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu ‘anh dibunuh, Ali bin Abi Thalib diangkat menjadi khalifah. Beliau dibai`ah oleh sebahagian umat Islam. Wujud sebahagian lain yang tidak membai`ah beliau, di antaranya ialah Muawiyah. Hal ini berlaku bukan kerana Muawiyah menafikan jawatan khalifah daripada Ali, akan tetapi Muawiyah mengkehendaki Ali terlebih dahulu menjatuhkan hukuman hudud ke atas para pembunuh Usman.

Al-Imam Ibn Hazm rahimahullah menerangkan hakikat ini:

“Dan tidaklah Muawiyah mengingkari sedikit jua akan keutamaan Ali dan hak beliau untuk menjadi khalifah. Akan tetapi pada ijtihad beliau, perlu didahulukan penangkapan ke atas para pembakar api fitnah daripada kalangan para pembunuh Usman radhiallahu ‘anh daripada urusan bai`ah. Dan beliau juga berpendapat dirinya paling berhak untuk menuntut darah Usman.” [al-Fishal, jld. 3, ms. 85]

Di sisi Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib, beliau bukan sengaja membiarkan para pembunuh Usman berkeliaran secara bebas. Malah beliau mengetahui bahawa mereka itu menyamar diri dan berselindung di kalangan umat Islam serta berpura-pura membai`ah beliau. Akan tetapi dalam suasana umat Islam yang masih berpecah belah, adalah sukar untuk beliau mengambil apa-apa tindakan. Sebaliknya jika umat Islam bersatu, mudah baginya untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Usman.

Berlakunya Perang Siffin

Setelah Perang Jamal berakhir, Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib menghantar utusan kepada Muawiyah meminta beliau berbai`ah kepada dirinya. Muawiyah menolak, sebaliknya mengulangi tuntutannya agar Amirul Mukminin Ali mengambil tindakan ke atas para pembunuh Usman. Jika tidak, Muawiyah sendiri yang akan mengambil tindakan. Mendengar jawapan yang sedemikian, Amirul Mukminin Ali menyiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Syam. Senario ini menyebabkan Muawiyah juga mempersiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Kufah. Akhirnya kedua-dua pasukan ini bertemu di satu tempat yang bernama Siffin dan bermulalah peperangan yang dikenali dengan Perang Siffin.

Para pengkaji berbeza pendapat, kenapakah Amirul Mukminin Ali mempersiapkan pasukannya ke arah Syam? Persoalan ini masih memerlukan penelitian yang mendalam dengan mengambil kira faktor-faktor luaran dan dalaman yang wujud pada ketika itu. Amirul Mukminin Ali tidak akan mengambil apa-apa tindakan melainkan ia adalah untuk kemaslahatan umat Islam seluruhnya. Hal ini mengingatkan sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang meramalkan berlakunya Perang Siffin:

“Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan kedua-dua kumpulan tersebut adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya).” [Shahih Muslim – hadis no: 157]

Muawiyah memberontak kepada Ali?

Kini penelitian kita sampai kepada persoalan: Benarkah Muawiyah memimpin pemberontakan ke atas Amirul Mukminin Ali? Jawapannya tidak. Ini kerana jika dikatakan seseorang itu memberontak kepada pemimpinnya, nescaya pemberontak itulah yang bergerak ke arah pemimpin. Akan tetapi dalam kes Muawiyah, beliau tidak bergerak ke arah Amirul Mukminin Ali. Sekalipun Muawiyah enggan membai`ah Ali, beliau hanya berdiam diri di Syam tanpa memulakan apa-apa tindakan ketenteraan.

Syaikh Muhib al-Din al-Khatib rahimahullah (1389H) menjelaskan:

“Lalu Ali berangkat meninggalkan Kufah dan menuju di permulaan jalan yang menuju ke arah Syam dari Iraq. Ali mengisyaratkan supaya orang ramai tetap tinggal di Kufah dan mengirimkan yang selainnya ke Syam. Sampai berita kepada Muawiyah bahawa Ali telah mempersiapkan pasukannya dan Ali sendiri keluar untuk memerangi beliau. Maka para pembesar Syam mengisyaratkan kepada Muawiyah agar dia sendiri turut keluar (untuk berhadapan dengan pasukan Ali). Maka orang-orang Syam berangkat menuju ke Sungai Furat melalui Siffin dan Ali maju bersama pasukannya menuju Siffin juga.

Seandainya Ali tidak mempersiapkan pasukan yang bergerak dari Kufah nescaya Muawiyah tidak akan bergerak (dari Syam).” [catitan notakaki kepada al-`Awashim min al-Qawashim, ms. 166 & 168 ]

Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis yang lazim dijadikan alasan melabel Muawiyah sebagai pemberontak. Hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2916 di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada `Ammar bin Yasir radhiallahu ‘anh:

“Engkau akan dibunuh oleh kelompok pemberontak.”

Di dalam Perang Siffin, `Ammar berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali dan beliau terbunuh dalam peperangan tersebut. Lalu Muawiyah dilabel sebagai pemberontak kerana pasukan beliaulah yang memerangi Ali sehingga menyebabkan `Ammar terbunuh.

Sebenarnya tidak tepat menggunakan hadis di atas untuk melabel Muawiyah sebagai pemberontak. Sebabnya:

1. Sejak awal para sahabat mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali. Dengan itu, sesiapa yang memerangi pasukan Ali, nescaya mereka adalah para pemberontak. Akan tetapi fakta sejarah mencatitkan bahawa ramai sahabat yang mengecualikan diri daripada Perang Siffin. Jika mereka memandang pasukan Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya mereka tidak akan mengecualikan diri, malah tanpa lengah akan menyertai pasukan Ali. Sikap mereka yang mengecualikan diri menunjukkan mereka tidak memandang pasukan Muawiyah sebagai pihak yang memberontak. Perlu ditambah bahawa hadis yang meramalkan pembunuhan `Ammar bin Yasir oleh kelompok pembangkang adalah hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh lebih daripada 20 orang sahabat. [Rujuk Qathf al-Azhar al-Mutanatsirah fi al-Akhbar al-Mutawatirah oleh al-Imam al-Suyuthi (911H) (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1985), hadis no: 104]

2. Amirul Mukminin Ali juga mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir berada dalam pasukannya. Akan tetapi Ali mengakhiri Perang Siffin melalui perdamaian yang disebut sebagai peristiwa Tahkim. Seandainya Ali memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan
melakukan apa-apa usaha perdamaian dengannya.

3. Apabila terbunuhnya Amirul Mukminin Ali, jawatan khalifah diserahkan kepada anaknya, Hasan bin Ali radhiallahu ‘anh. Tidak berapa lama selepas itu, Hasan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Padahal Hasan juga mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir telah terbunuh dalam Perang Siffin. Jika Hasan memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Namun Hasan tetap menyerahkannya, menunjukkan beliau tidak memandang Muawiyah sebagai pemberontak.

Semua ini membawa kepada persoalan seterusnya, siapakah yang sebenarnya dimaksudkan sebagai “kelompok pemberontak”? Kelompok pemberontak tersebut bukanlah pasukan Muawiyah mahupun pasukan Amirul Mukminin Ali, akan tetapi adalah orang-orang yang pada asalnya menyebabkan berlakunya peperangan antara Muawiyah dan Ali. Mereka adalah kelompok pemberontak yang asalnya memberontak kepada Amirul Mukminin Usman ibn Affan sehingga akhirnya membunuh beliau. Diingatkan bahawa sekalipun pada zahirnya peperangan kelihatan berlaku di antara para sahabat, faktor yang menggerakkannya ialah para pemberontak yang asalnya terlibat dalam pembunuhan Usman.

Syaikh Mubih al-Din al-Khatib rahimahullah menjelaskan hakikat ini:

“Sesungguhnya orang yang membunuh orang Islam dengan tangan kaum Muslimin setelah terjadinya pembunuhan Usman, maka dosanya berada di atas para pembunuh Usman kerana mereka adalah pembuka pintu fitnah dan mereka yang menyalakan apinya dan mereka yang menipu sebahagian hati kaum muslimin dengan sebahagian yang lain. Maka sebagaimana mereka membunuh Usman maka mereka juga membunuh setiap orang yang mati selepas Usman, di antaranya seperti `Ammar dan orang yang lebih utama daripada `Ammar iaitu Thalhah dan al-Zubair, sehinggalah berakhirnya fitnah dengan terbunuhnya Ali.

Segala sesuatu yang terjadi kerana fitnah maka yang menanggungnya adalah orang yang menyalakan apinya kerana merekalah penyebab yang pertama. Mereka itulah “kelompok pembangkang” yang membunuh, yang menyebabkan setiap pembunuhan dalam Perang Jamal dan Perang Siffin dan perpecahan yang berlaku selepas kedua-dua perang tersebut.” [catitan notakaki kepada al-`Awashim min al-Qawashim, ms. 173]

Kebenaran tetap bersama pemimpin

Sekalipun dikatakan bahawa Muawiyah bukan pemberontak, tidaklah bererti Muawiyah berada di pihak yang benar. Di dalam Islam, apabila wujud perbezaan pendapat antara pemimpin dan selain pemimpin, maka kebenaran terletak bersama pemimpin. Hendaklah mereka yang menyelisihi pemimpin tetap bersama pemimpin dan berbincang dengan beliau terhadap apa yang diperselisihkan. Di dalam peristiwa yang membawa kepada Perang Siffin, pemimpin saat itu ialah Amirul Mukminin Ali. Maka sikap yang lebih tepat bagi Muawiyah ialah tidak meletakkan syarat untuk membai`ah Ali, sebaliknya terus membai`ah beliau dan kemudian berbincang dengan beliau tentang cara terbaik untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Amirul Mukminin Usman.

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menegaskan:

“Dan Muawiyah bukanlah daripada kalangan mereka yang memilih untuk memulakan perang, bahkan beliau daripada kalangan yang paling mengkehendaki agar tidak berlaku perang. Yang benar adalah tidak berlakunya peperangan. Meninggalkan peperangan adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Tidaklah dalam peperangan tersebut (Perang Siffin, wujud satu) pihak yang benar. Akan tetapi Ali lebih mendekati kebenaran berbanding Muawiyah. Peperangan adalah peperangan kerana fitnah, tidak ada yang wajib dan tidak ada yang sunat dan meninggalkan perang adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Hanya sahaja Ali adalah lebih benar. Dan ini merupakan pendapat (al-Imam) Ahmad dan kebanyakan ahli hadis dan kebanyakan para imam fiqh dan ini juga merupakan pendapat para tokoh sahabat dan tabi’in yang selalu mendapat kebaikan.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 447-448]

Allahu a’lam bisshawab.

- Pendirian Muawiyah Di Sebalik Perang Siffin, Hafiz Firdaus Abdullah

Mitsaaqan Ghalizhaa..

-Penulis menghadiri walimatus 'Urus seorang sahabat-'
Semoga Allah memberkati kamu berdua, menurunkan keberkatanNya kepada kamu dan mempersatukan kamu berdua dalam kebajikan'

((Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa cinta kasih dan sayang)) (arRum:21)




Tujuan dari sistem pernikahan Islam adalah membina sebuah keluarga agar berjalan di bawah naungan cinta kasih dan kesucian diri maka rumah tangga yang kelak memiliki keturunan ini akan menemukan jaminan keamanan, ketenteraman, cinta kasih dan kemampuan meningkatkan potensi masyarakat untuk mewujudkan martabat kehidupan manusia yang mulia sebagaimana kemuliaannya di hadapan Allah SWT. (Ali Abdul Halim Mahmud).



((Dan bagaimana kamu akan mengambilnya kembali, padahal kamu telah bergaul satu sama lain (sebagaimana suami isteri). Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil perjanjian yang kuat (ikatan pernikahan) dari kamu. (al-Nisa':21)



"Dan Abdullah bin Umar ra. Rasulullah saw bersabda: Dan wanita adalah terhadap keluarga rumah tangga suaminya dan anak-anaknya, dan akan diminta pertanggungjawaban tentang mereka"-HR Bukhari dan Muslim-



'Kunci utama bagi suami dan isteri untuk menyelesaikan berbagai macam permasalahan yang muncul dan akan terus muncul dalam kehidupan rumah tangga adalah musyawarah. Rasanya tidak ada masalah yang tidak bisa diselesaikan selama semua pihak bersedia melakukan musyawarah'.



Seorang ulama' berkata: 'Isteri yang baik dapat mengilhamkan suaminya (membantu fikiran suaminya), isteri yang cerdas membangkitkan perhatian suaminya, isteri yang cantik menawan suaminya, akan tetapi isteri yang penuh kasih sayang dan lemah lembut dialah yang akan menguasai suaminya'.



'Pergaulan baik (al-'isyrah bil ma'ruf) adalah payung dan sistem yang di atasnya bahtera keluarga berlayar; baik saat melakukan kewajipan, atau meminta hak. Atau ia merupakan sistem yang di atas bimbingannya kehidupan keluarga berjalan.' (Dr. Akram Redha).



Ikatan Mitsaqan Ghalizha (perjanjian yang sangat berat). Ada yang besar dalam perjanjian berat ini. Hati yang menerima, jiwa yang rela, sikap yang mententeramkan, dan kesediaan untuk berjuang bersama. Sudah siapkah anda? (Mohammad Fauzi Adhim)

SUARA HATI: Maafkan Agar Dimaafkan..

Memberi maaf kekadang lebih sukar daripada meminta maaf. Ah, kenapa diri ini? Apa yang pernah dibaca dalam al-Qur'an, hadis dan buku-buku sukar benar dipraktikkan. Bila cuba dipraktikkan, barulah terasa pedihnya. Egonya terhenyak, rasa marah tertekan. Mampukah diri ini memaafkan ketika berkuasa 'membalas'? Forgive and forget? Wah jauh sekali. Nak lupakan? Nak memaafkan pun sukar!

Aku bertemunya sekali lagi setelah sekian lama terpisah. Perpisahan yang disebabkan perselisihan, di samping dia sendiri membina kerjaya di tempat lain. Secara 'basa-basi' memang kami telah saling bermaafan. Tetapi dia dan aku tahu, 'mendung' antara hati kami masih belum berarak pergi. Kini, setelah hampir 5 tahun, suasana sudah berubah. Yang di bawah ke atas, yang di atas meluncur ke bawah.
"Maaf, bang..."
Aku tergamam. Aku renung matanya.Agak layu dan keletihan.
"Oh, tak apa-apa. Kita jumpa lagi nanti," kataku sambil memberikan kad nama. Dia juga memberikan kadnya. Dan kami terus berpisah. Sepanjang perjalanan pulang, hatiku resah..Jelas aku masih sukar melupakan. Atau aku masih belum memaafkan?
Dibelenggu Rasa Sakit
Perlahan aku mainkan semula sebuah kaset dari siri kaset-kaset pengubat jiwa koleksi peribadi yang ada di dalam kereta.
Orang yang tidak memaafkan sentiasa 'diikat' oleh orang yang tidak dimaafkannya. Maafkan, nescaya kau akan terlepas. Kau akan bebas daripada terus mengingatkan kesedihan, kekecewaan dan kemarahan yang dikenakannya ke atasmu. Itu sakit. Maafkan, engkau akan sihat, engkau akan bebas!"
Aku diam. Akur. Rupanya aku masih dibelenggu oleh rasa sakit itu.
"Mengapa terlalu sukar memaafkan?Orang yang merasakan kebesaran Allah,akan berasa kekerdilan dirinya."
Sekali lagi suara dalam kaset itu menusuk hatiku. Aku ego? Ya, jawab suara hati.
"Allah lagilah Pengampun. Dosa demi dosa dari hambaNya, diampun segalanya. Bukan sekadar mengampunkan, malah Allah menyayangi pendosa yang bertaubat dari dosanya." Masya Allah!
Egonya Aku
Kenapa aku rasa 'besar'? Akukah yang memberikan dia rezeki? Akukah yang berikan dia hidayah? Akukah yang sembuhkan dia dari sakit demamnya? Insaflah, Allah yang memberikan dia semuanya. Jika Allah yang begitu besar jasa kepadanya pun memaafkan. Apakah layak untuk kita tidak memaafkan? Sekali lagi saya terhenyak. Oh,egonya aku.
Saya belokkan kereta ke arah lain. Tidak jadi pulang ke rumah. Sengaja memanjangkan masa untuk lebih mendengar suara kaset dan suara hati sendiri.
"Kau tau tak, aku tak suka orang yang mungkir janji. Kau selalu mungkir janji. Aku tunggu,kau lewat. Kau janji nak bayar, kau culas. Kau kata nak buat, kau tangguh. Kau janji macam-macam, tapi apa pun tak ada. Kau buat berulang-ulang kali. Kali ini aku terlalu susah, kau buatkan aku begini. Sampai hati kau."
"Eh, siapa suruh kau percaya. Siapa suruh kau tunggu.. Biasalah,kau takkan tak tahu perangai aku."
"Kalau macam ni susahlah aku."
"Dah tahu susah, jangan kawan dengan aku!"
Masih terngiang-ngiang dialog antara kami ketika dia menelefonku meminta maaf,dan aku memaafkannya..tetapi sejak itu kami 'putus'.
"Cuba bayangkan kasih sayang Allah. Kalau seorang itu berdosa, kemudian bertaubat, kemudian berdosa lagi, bertaubat lagi..namun Allah masih dan terus sudi mengampunkannya setiap kali dia bertaubat. Sebab itu kata Imam Al-Ghazali, seorang hamba yang bertaubat tetapi kembali berdosa, jangan sekali-kali putus asa untuk terus bertaubat lagi. Mana tahu Izrail mencabut nyawanya ketika dia sedang bertaubat atau sedang dalam perjalanan menuju satu taubat!"
Aku terdiam. Alasanku tidak memaafkannya ialah dia buat begini berulang-ulang kali. Ya, sukarnya memaafkan, tapi Allah? Sekali lagi, suara hati menusuk jiwa - siapa besar?
Dosanya Terlalu Besar?
Reputasiku hampir pupus dibuatnya. Malah, aku hampir hilang pekerjaan. Terlalu besarkah dosanya kepadaku?
"Sekalipun si hamba datang dengan dosa sepenuh langit dan bumi, sebanyak pepasir di pantai, seluas air di lautan, Allah akan mengampunkannya. Sebesar-besar dosa manusia, besar lagi pengampunan Allah. Malah, keampunanNya sentiasa mendahului kemurkaanNya."
Aduh, kecilnya kesalahan manusia sesama manusia, berbanding dosa manusia dengan Yang Esa. Apakah alasan kita untuk tidak memaafkan? Sedangkan Allah sudi memaafkan walau sebesar mana pun dosa kita, insan yang hina ini kepadaNya, Zat Yang Maha Mulia."
"Maafkan dosa sesama kita, agar mudah kira bicara kita di mahkamah keadilanNya nanti. Allah Penyayang, suka kepada orang yang penyayang. Allah Maha Pemaaf, dan suka kepada orang yang suka memaafkan. Maafkanlah agar dimaafkan."
Tanpa lengah aku mencapai telefon bimbit. Kad namanya kukeluarkan.
"Hello, assalamu'alaikum. Ya,ya,aku ni. Kita jumpa boleh? Tempat? Kau tentukan. Oklah, setengah jam lagi insya Allah aku sampai," kata saya. Tanpa sedari kaki saya menekan pedal minyak. Ingin segera kerana..ingin segera memaafkan. Agar segera diampunkan. Ya Allah..egonya aku selama ini. Menyimpan sifat 'ketuhanan' dalam diri yang begitu hina dan kekurangan.
Cerita di atas ini, tidak sesekali bersangkut paut dengan mana-mana individu. Sebagai muhasabah untuk diri penulis sendiri terutamanya. Moga Allah ampuni dosa-dosa kita semua. Ameen!
Wassalam..
Nukilan: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi